BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

SPONSORED BY

27 Mac 2010

MISTERI GUNUNG JERAI

Puncak gunung Jerai yang tinggi menjadi penunjuk

Kedah kepada para pedagang ke Kedah




Telaga Tok Sheikh yang dikatakan

mampu menjadi penawar














Batu Kapal yang terdapat di puncak Gunung Jerai




Gunung Jerai mempunyai mitosnya tersendiri. Di mana Gunung Jerai yang menganjur ke Tanjung Jaga di Selat Melaka ini telah menjadi panduan kepada pelayar-pelayar silam yang singgah berdagang di negeri ini. Gunung Jerai sering dikaitkan dengan mitos Raja Bersiong yang telah membuka kawasan penempatan dikaki gunung ini. Menurut cacatan sejarah, Gunung Jerai yang terletak di daerah Yan ini telah lama menarik kunjungan pedagang Acheh ke daerah ini. Sebagai buktinya sehingga kini kebanyakkan penduduk kampung Acheh dan kampung Sungai Limau, Yan adalah berketurunan Acheh Indonesia. Di Puncak Gunung Jerai terdapat sebuah batu besar yang berbentuk sebuah kapal dipercayai telah disumpah oleh Sang Kelembai iaitu gergasi yang mempunyai sakti. Kapal tersebut dikatakan telah dinaiki oleh Maharaja Merong Mahawangsa yang ketika itu ingin berlabuh di Pulau Jerai iaitu nama asal bagi Gunung Jerai.



Perigi Tok Sheikh yang terletak bersebelahan dengan kawasan air terjun Gunung Jerai ini pula dikatakan milik pendeta Arab yang dipercayai telah berlabuh di Sungai Baboor dan kini dikenali Sungai Merbok dengan tujuan menyatakan keindahan Islam pada pemerintah Kataha atau Kalaha iaitu Kedah. Tok Sheikh atau Sheikh Abdullah bin Sheikh Jaafar Kumiri adalah orang yang bertanggungjawab mengislamkan Raja Kedah yang pertama iaitu Maharaja Derbaraja (Sultan Muzaffar Syah) pada tahun 1136 masihi (531 hijrah). Disebabkan Tok Sheikh ini dianggap sebagai manusia yang mulia maka air perigi Tok Sheikh dipercayai mampu menjadi penawar kepada pelbagai penyakit dengan cara meminum atau mandi dengan menggunakan air telaga ini. Padang Tok Sheikh, iaitu tapak masjid yang didirikan di zaman Sheikh Abdullah Yamani. Telaga Tok Sheikh tempat beliau mengambil air sembahyang dan sekeping batu rata seperti permukaan meja yang dipanggil Sejadah Tok Sheikh iaitu tempat beliau bersembahyang. Kononnya ada gua dipanggil Gua Tok Sheikh di Gunung Jerai tempat orang sembahyang Jemaah. Di dalam gua tersebut masih boleh dilihat orang berdiri betul, ruku dan sujud dan dalam pelbagai rupa orang bersembahyang tetapi semuanya batu, kaku dan berlumut.



Walau bagaimanapun, Gunung Jerai ini menyimpan seribu satu misteri tersendiri yang sukar diungkap. Penduduk sekitar Gurun dan Yan, majoritinya mempercayai kawasan pergunungan ini merupakan kawasan penempatan bunian yang besar dan diperintah oleh raja bunian. Oleh sebab itu, mereka percaya kawasan pergunungan ini dijaga oleh orang bunian. Pelbagai peristiwa aneh dialami oleh pengunjung kawasan pergunungan ini apabila mereka datang dengan tujuan yang kurang baik. Pelbagai cerita misteri yang sukar untuk diterima oleh akal fikiran yang logik kerap di kaitkan dengan Gunung Jerai. Menurut Ramli yang merupakan seorang pekerja organisasi yang bekerja di puncak gunung ini, “Sejak 20 tahun lalu pernah ternampak istana dan perkampungan bunian di pinggir air terjun berdekatan dengan Telaga Tok Sheikh. Beliau juga pernah berhadapan dengan jelmaan bunian yang menyerupai gadis cantik semasa menjalankan tugas. Akan tetapi, bagi Encik Ramli perkara seperti itu alah bisa tegal biasa”. Menurutnya lagi, “seorang pengunjung lelaki dalam lingkungan usia 20-an telah hilang pada awal tahun 2000.



Sehubungan itu, pelbagai usaha telah dilakukan untuk mencari pemuda tersebut termasuk menggunakan anjing pengesan tetapi gagal ditemui. Namun, selepas seminggu, pemuda tersebut dijumpai di sekitar kawasan air terjun. Malangnya beliau ditemui telah meninggal dunia dalam keadaan yang amat mengerikan di mana kepala dan badan telah bercerai dari badannya. Beliau dipercayai telah disorok dan dibunuh oleh orang bunian kerana kawasan air terjun dan hutan sekelilingnya adalah tempat perkampungan orang bunian”. Katanya ketika di wawancara melalui e-mail. Biarpun pelbagai cerita misteri dikaitkan dengan gunung ini namun keindahan, keunikan flora dan faunanya serta ketenangan yang boleh dinikmati apabila berada di puncaknya mengatasi segala-galanya. Saujana pemandangan yang permai dan damai ini menjadikan Gunung Jerai tidak lekang dengan pelancong dari dalam mahupun luar negara.



0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...